Dunia

Tanah Runtuh: Seorang Dilapor Maut, Sebuah Vellfire Juga Ditemui Dalam Timbunan Tanah

Susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands hari ini, seorang mangsa ditemukan maut akibat tertimbus dalam runtuhan, lapor Utusan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengesahkan penemuan mangsa yang merupakan pemandu sebuah lori.

Tidak jauh dari penemuan itu, kerja-kerja mencari dan menyelamat juga turut menemukan sebuah lagi kenderaan iaitu Toyota Vellfire dalam timbunan tanah.

Bagaimanapun, jumlah dan keadaan mangsa di dalam kenderaan Vellfire tersebut setakat ini tidak diketahui.

Memetik laporan Utusan, pemandu lori yang maut dikenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi, 31, yang dalam perjalanan membawa muatan sayur dari Cameron Highlands ke Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kedudukan lori berkenaan berjaya dikesan oleh pasukan penyelamat dan usaha untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sedang dijalankan.

Seorang Lelaki, Sebuah Veilfire Dikhuatiri Terperangkap Tanah Runtuh.

IPOH, 2 Dis – Seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai merupakan individu yang dikhuatiri terperangkap dalam sebuah lori pada kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada Khamis.

Difahamkan identiti lelaki berkenaan dikenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi dan beralamat di Tanjong Piandang, Kerian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berkenaan dipercayai sedang memandu sebuah lori dengan muatan sayur-sayuran daripada Cameron Highland di Pahang.

“Ada dua jengkaut digunakan di sebelah Simpang Pulai dan satu jengkaut kita minta bantuan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKE) Cameron highland.

“Usaha sedang dibuat untuk terus menyelamat mangsa yang kita percaya masih terperangkap di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau lokasi kejadian di Kilometer 27.10 Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun

Sementara itu Mior Faridalathrash berkata pihak Jabatan Pertahan Awam Malaysia (JPAM) telah diminta untuk membuat pemantauan pergerakan tanah dengan menggunakan dron sepanjang kerja-kerja menyelamat sedang giat dijalankan.

Pada masa sama Mior Faridalathrash memberitahu laluan Cameron Highlands-Simpang Pulai telah ditutup untuk kenderaan awam.

Walau bagaimanapun katanya pemandu boleh menggunakan laluan Cameron Highlands-Tapah yang telah dibuka sebagai laluan alternatif.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan terdapat juga sebuah kereta jenis Veilfire turut dikhuatiri tertimbus.

Walau bagaimanapun identiti dan jumlah mangsa dalam kenderaan berkenaan masih belum dikenal pasti.

Terdahulu JBPM Perak memberitahu menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian tanah runtuh berkenaan kira-kira jam 1.44 petang.

Sumber: Utusan, Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *